NASIONAL

Kes jenayah kanak-kanak meningkat 11.7 peratus

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Bilangan kes jenayah kanak-kanak meningkat sebanyak 11.7 peratus pada 2017 berbanding 4,886 kes pada tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia melibatkan kanak-kanak lelaki sebanyak 5,146 dan kanak-kanak perempuan sebanyak 297 kes.

“Daripada jumlah kes berkenaan, kesalahan berkaitan dadah adalah yang tertinggi iaitu 36.4 peratus sementara melibatkan harta benda sebanyak 31.2 peratus.

“Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini, bilangan kes jenayah kanak-kanak yang dilaporkan agak membimbangkan dan meningkat saban tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan lawatan rasmi ke Sekolah Tunas Bakti (L) Sungai Besi, di sini, hari ini.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, adalah amat penting kanak-kanak terlibat dengan kes jenayah ditempatkan di institusi Sekolah Tunas Bakti.

Katanya, ia bertujuan memberi pemulihan dan mendidik kanak-kanak dengan membina sikap positif selain membentuk keperibadian utuh.

“Mereka memerlukan rangsangan dan modaliti pemulihan berkesan untuk memupuk jati diri yang berdaya tahan.

“Kanak-kanak ini memerlukan pemulihan untuk mengubah kisah lampau akibat terlibat dengan kesalahan jenayah,” katanya.


Pengarang :