SELANGOR

Kes rempuh pelanggan, MPSJ sudah beri amaran pada peniaga

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 23 NOV: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah memberi amaran awal kepada peniaga yang sesuka hati meletakkan kerusi dan meja di atas jalan raya sehingga membahayakan nyawa pelanggan.

Yang Dipertua (YDP) MPSJ, Noraini Roslan berkata, sejak tiga tahun lalu pihaknya sudah mengenakan lebih 200 kompaun dan denda kepada peniaga degil tersebut.

“Apabila MPSJ ambil tindakan merampas meja dan juga kerusi, kami dikatakan zalim dan tidak mempunyai belas kasihan.

“Sekarang bila sudah berlaku kejadian kereta merempuh pelanggan yang sedang makan, adakah anda melihat undang-undang MPSJ ini sekadar suka-suka.

“Oleh itu, saya meminta kerjasama peniaga supaya tolonglah prihatin dengan keselamatan pelanggan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada Sabtu lalu, seorang wanita maut manakala empat lagi cedera apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas di sebuah restoran di Taman Equine, di sini.

Melalui rakaman video, didapati kenderaan tersebut merempuh pelanggan yang sedang makan di sebuah restoran yang meletakkan meja dan juga kerusi di atas jalan raya.

Mengulas lanjut, Noraini meminta kerjasama orang ramai supaya tidak memilih premis makanan yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.

“Ia sama seperti dengan kedai kotor, jika pemilik kedai masih berdegil, anda sebagai pelanggan ada hak untuk tidak mengunjungi kedai tersebut sehingga kedai berkenaan kembali bersih.

“Sama seperti premis yang meletakkan meja dan juga kerusi di atas jalan raya ini, mereka membahayakan orang awam, anda ada hak untuk memilih dengan tidak mengunjunginya.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, undang-undang yang dibuat ini bukan untuk main-main, tetapi demi kesejahteraan orang ramai,” katanya.


Pengarang :