BERITA UTAMASELANGOR

Kesedaran majikan carum PERKESO masih rendah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 NOV: Kesedaran majikan di negara ini untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dilihat masih rendah.

Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman berkata, punca utama menyebabkan majikan gagal membuat caruman itu ekoran tidak mahu menanggung kerugian.

Katanya, setakat ini, kira-kira 400,000 majikan mendaftar sebagai pencarum di seluruh Malaysia, manakala lebih 200,000 majikan pula hanya di Selangor.

“Di negeri ini, kira-kira 10 hingga 15 peratus kepekaan terhadap tanggungjawab itu rendah. Jumlah berkenaan tinggi di negeri ini kerana Selangor adalah ‘lubuk’ pekerjaan dan majikan.

“Kita mahu majikan menunaikan tanggungjawab itu bagi memastikan golongan pekerja layak mendapat faedah tertentu jika berhadapan sebarang kemudaratan atau kematian, pada masa hadapan.

“Banyak majikan bertindak mengelak membayar kerana mahu jimat kos tetapi tidak tahu apa kesan yang akan berlaku kepada pekerja contohnya kemalangan yang boleh disebabkan pekerjaan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke pejabat Media Selangor, di sini.

Sehubungan itu, Mustafa berkata, pihaknya proaktif memberikan penerangan kepada majikan dan pekerja di setiap syarikat berhubung perkara terbabit.

Katanya, antara perkara ditekankan ialah program advokasi keselamatan jalan raya, proses tuntutan dan faedah diberikan.

“Masih juga ramai pekerja di luar sana yang masih tidak mengetahui faedah kita sediakan tetapi mereka dialukan datang ke pejabat kami jika terdapat kemusyikilan atau maklumat lanjut,” katanya.


Pengarang :