EKONOMI

Ketegangan ekonomi global pengaruhi Ringgit minggu depan

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Pergerakan ringgit dijangka kekal pada aliran menurun minggu depan sejajar dengan kebanyakan mata wang Asia disebabkan ketegangan baharu ekonomi global termasuk Brexit.

Ketua Penyelidik Pasaran dan Strategi Mata Wang FXTM, Jameel Ahmad, berkata ketidaktentuan pasaran global yang muncul semula terhadap Brexit mempengaruhi permintaan di pasaran baharu muncul minggu depan.

“Ia kelihatannya sama ada peniaga juga Parlimen United Kingdom (UK) yakin bahawa terma semasa yang dijamin oleh Perdana Menteri UK, Theresa May, dengan Kesatuan Eropah untuk Brexit akan mudah diteruskan, yang menonjolkan keperluan peniaga untuk memantau perkara ini sehingga Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah yang dijangka pada 25 Nov 2018,” katanya kepada Bernama.

Katanya, pasaran baharu muncul di seluruh Asia mungkin tidak terdedah kepada risiko berkaitan Brexit seperti dengan mereka yang dekat dengan UK dan Eropah, tetapi ia sesuatu yang boleh membuatkan pelabur kurang tertarik untuk melabur dalam aset berisiko, iaitu bagaimana pasaran baharu muncul akan terkesan secara negatif.

“Adalah menarik untuk melihat sama ada ketidaktentuan di Eropah menggalakkan pelabur untuk mengambil dolar untuk meningkatkan nilainya, yang akan membawa satu lagi kisah penyimpangan dolar yang menekan pasaran baharu muncul di seluruh dunia sepanjang sebahagian besar tahun ini,” tambahnya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit adalah dalam jajaran kecil berbanding dolar US.

Ringgit didagangkan kebanyakan rendah kerana pelabur berubah ke arah mata wang yang selamat disebabkan Rizab Persekutuan AS mengesahkan kedudukan dasar kewangan kadar faedah yang meningkat hujung tahun ini.

Asas Jumaat ke Jumaat, ringgit lemah kepada 4.1900/1940 berbanding dolar US daripada 4.1780/1810 minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, berbanding beberapa mata wang utama, ringgit didagangkan kebanyakan tinggi.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0428/0462 daripada 3.0315/0341 dan berbanding yen Jepun ia susut kepada 3.6946/6991 daripada 3.6685/6714.

Ia kukuh berbanding pound British kepada 5.3603/3671 daripada 5.4343/4386 tetapi lemah berbanding euro kepada 4.7506/7568 daripada 4.7362/7413.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :