SELANGOR

Ketua Komuniti India diharap terus proaktif

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri berharap ketua komuniti kaum India dapat terus berperanan secara proaktif bagi memenuhi keperluan masyarakat berkaitan di Selangor.

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, program dimulakan sejak 2009 itu berjaya mencapai objektifnya apabila ketua komuniti dilantik menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

“Ketua komuniti kaum India memainkan peranan penting sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan masyarakat India di Selangor.

“Mereka melaksanakan tanggungjawab dengan jayanya sejak 2009 maka dengan ini Kerajaan Negeri berasa program ini wajar diteruskan demi manfaat semua pihak,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas Program Ramah Mesra Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Komuniti Kauk India Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelantikan ketua komuniti kaum India adalah satu sejarah di Malaysia kerana sejak 2009, ia hanya dilakukan di Selangor dan kini diikuti Perak, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, pelantikan itu berasas kerana mereka menjaga kepentingan semua kaum khususnya masyarakat India.

“Tahniah kepada 48 ketua komuniti yang menerima watikah pelantikan dan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang memberi persetujuan berhubung perkara ini.

“Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan menambah bilangan pelantikannya pada masa depan berikutan permintaan tinggi terhadapnya,” katanya.

48 ketua komuniti dilantik itu adalah 24 mewakili KEADILAN, DAP (18), AMANAH (lima) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) satu.


Pengarang :