SELANGOR

Kisah ibu dan tiga anak tiada tempat tinggal sudah dibantu LZS

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 NOV: Kisah seorang ibu dan tiga anaknya yang menjadi tular di laman facebook semalam sudahpun dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZSS).

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Seri Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, pihaknya cuba menjejaki keluarga berkenaan setelah kisah mereka menjadi bualan hangat di media sosial.

Katanya, bantuan sewajarnya tidak dapat disalurkan atas kekangan kerjasama daripada keluarga tersebut.

“Untuk makluman, keluarga ini pernah menerima bantuan zakat dari LZS pada tahun 2017. Bagaimanapun pada tahun ini keluarga tersebut tidak dapat dijejaki kerana sering berpindah randah dan menyukarkan pihak LZS menyalurkan bantuan zakat.

“Daripada rekod, keluarga ini mempunyai empat orang anak dan tiga daripada mereka tiada maklumat pengesahan diri termasuk suami beliau,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam tular di laman facebook kisah seorang ibu bersama tiga anaknya yang tidak mempunyai rumah dan tinggal di tepi jalan sahaja.

Menurut netizen, ada diantara mereka yang ternampak keluarga tersebut tidur di sebuah stesyen minyak di Seksyen 27 dan juga kedai mencuci pakaian di Seksyen 28.

Difahamkan mereka mencari rezeki dengan mencari bahan terbuang dan dijual semula di tempat kitar semula.


Pengarang :