NASIONAL

KKMM sambut baik peruntukan RM1 bilion bangunkan NFCP

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyambut baik Belanjawan 2019 dibentangkan dengan peruntukan RM1 bilion bagi pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, peruntukan itu baik bagi perkembangan perhubungan khususnya internet di seluruh negara.

“Saya ucap tahniah kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana memberi peruntukan baik untuk KKMM dengan fokus kepada pelaksanaan NFCP.

“Ini berita baik untuk kita dalam usaha bagi meningkatkan perkhidmatan ke seluruh negara khususnya luar bandar bagi mendapat kemudahan internet,” katanya kepada media di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2019.

Beliau berkata, perkembangan itu bagus kerana tumpuan dunia kini kepada industri 4.0 dengan bidang industri dan perniagaan menjadi perhatian ramai.

Katanya, belanjawan itu mengambil kira keperluan semasa walaupun Guan Eng menghuraikan pelbagai masalah ekonomi dihadapi selepas mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan terdahulu.

“Namun, inisiatif diberikan kerajaan amat baik khususnya kepada golongan B40 serta pemberian subsidi ke atas petrol, elektrik dan sebagainya.

“Saya melihat belanjawan ini mengambil kira keperluan semasa dengan memberi bantuan kepada orang ramai dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” katanya.


Pengarang :