NASIONAL

Komited tingkatkan sektor agri komoditi

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Kementerian Industri Utama yang menerima peruntukan lebih rendah pada Belanjawan 2019 akan terus memberi komitmen tinggi dan telah bersedia dengan program dan inisiatif untuk meneruskan usaha meningkatkan sumbangan sektor agrikomoditi kepada pengukuhan ekonomi.

Menterinya Teresa Kok dalam satu kenyataan hari ini berkata, kementerian tersebut menerima peruntukan sebanyak RM507 juta, iaitu RM125.6 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM381.4 juta perbelanjaan pembangunan, yang merupakan pengurangan sebanyak 50.7 peratus berbanding peruntukan tahun 2018.

Melalui Strategi Ke-10 Belanjawan 2019 : Merebut Peluang Dalam Menghadapi Cabaran Global”, beliau berkata kerajaan menumpukan kepada usaha menambah nilai kepada sektor komoditi melalui program khusus.

Ini termasuk Program Biodiesel B10 (campuran 10 peratus kandungan minyak kelapa sawit) bagi sektor pengangkutan dan B7 untuk sektor industri yang akan dilaksanakan mulai 2019 bertujuan untuk melestarikan penggunaan sumber tenaga, menstabilkan harga minyak sawit dan seterusnya meningkatkan sumber pendapatan kepada pekebun kecil.

Peruntukan sebanyak RM30 juta juga diberikan bagi membantu pekebun kecil kelapa sawit mendapatkan pengiktirafan pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

Sementara itu, Kok berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi penggunaan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) dalam pembinaan jalan raya di kawasan pelabuhan dan perindustrian secara berperingkat.

Langkah ini, katanya, dijangka dapat meningkatkan permintaan ke atas cuplump dan seterusnya meningkatkan harga komoditi tersebut yang akan memberi manfaat langsung kepada pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.

Bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG), sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah kepada pekebun kecil.

Di bawah IPG, pekebun kecil getah akan menerima sokongan pendapatan jika harga getah jatuh di bawah RM2.20 sekilogram.

Kok berkata 2019 dilihat sebagai tahun yang mencabar kepada sektor agrikomoditi memandangkan pertumbuhan ekonomi global adalah pada tahap 3.7 peratus.

Namun demikian, kementerian itu akan terus memberi tumpuan kepada sektor perladangan dan komoditi yang merupakan penyumbang besar kepada pembangunan ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat luar bandar, katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :