EKONOMI

Kontrak hadapan minyak sawit mentah didagangkan rendah minggu depan

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatifi dijangka didagangkan rendah antara RM1,750 dan RM1,850 setan minggu depan, kata seorang peniaga.

Peniaga Kanan Interband Group of Companies, Jim Teh, berkata peniaga hadapan MSM Malaysia menyaksikan suasana penurunan di tengah-tengah tahap stok inventori yang tinggi.

“Pasaran global sedang melalui kemelesetan termasuk pasaran komoditi dan peningkatan angka saham akan terus memberikan tekanan kepada harga MSM,” katanya kepada Bernama.

Menurut laporan “Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia untuk bulan Oktober 2018” yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia pada Isnin, jumlah stok minyak sawit Malaysia pada Oktober 2018 meningkat 7.63 peratus kepada 2.72 jutan tan daripada 2.52 juta tan pada September.

“Stok MSM meningkat 13.94 peratus kepada 1.61 juta tan pada bulan berkenaan daripada 1.41 juta tan bulan sebelumnya,” kata laporan itu.

Sementara itu, Pertubuhan Perdagangan Dunia menurunkan ramalan pertumbuhannya bagi dagangan barangan global untuk 2018 kepada 3.9 peratus daripada 4.4 peratus pada April dan pasaran juga mengambil isyarat selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan amaran pertumbuhan global yang perlahan.

IMF meramalkan pertumbuhan global untuk 2018-2019 pada 3.7 peratus.

Asas Jumaat ke Jumaat, Disember 2018 susut RM193 kepada RM1,775 setan, Januari 2019 susut RM148 kepada RM1,892 setan, Februari 2019 susut RM137 kepada RM1,972 setan dan Mac 2019 susut RM129 kepada RM2,043 setan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 269,566 lot daripada 61,326 lot Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 320,059 kontrak daripada 300,705 kontrak sebelumnya.

Di pasaran fizikal, Disember Selatan susut RM50 kepada RM1,750 setan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :