GLOBAL

Krisis harga: Presiden Tanzania kerah tentera beli gajus daripada petani

DAR ES SALAAM, 13 NOV: Pihak berkuasa Tanzania telah mengerahkan tentera untuk membeli gajus daripada petani bagi menyelesaikan pertikaian berhubung harga komoditi itu.

Presiden John Magufuli telah memberi tempoh sehingga Isnin kepada para peniaga untuk membeli komoditi itu pada harga yang diluluskan kerajaan.

Para petani telah menghentikan jualan hasil tanaman mereka selama beberapa minggu selepas mendakwa harga yang ditawarkan oleh peniaga terlalu rendah.

Magufuli telah menolak tawaran daripada 13 syarikat yang ingin membeli komoditi itu pada harga $1.3 sekilogram.

Angkatan Pertahanan Rakyat Tanzania telah diarah membeli hasil tanaman itu daripada para petani di selatan wilayah Mtwara pada harga $1.43.

Pada Sabtu, Magufuli memecat menteri pertanian dan menteri perdagangan susulan krisis itu, yang telah menyaksikan kejatuhan harga gajus.

Presiden itu berkata beliau mahu memastikan beribu-ribu petani mendapat harga yang berpatutan bagi gajus mereka.

Magufuli telah melantik dua menteri dan empat timbalan menteri selepas memecat Menteri Pertanian Charles Tizeba serta Menteri Perdagangan dan Pelaburan Charles Mwijage.

Beliau turut membubarkan Lembaga Gajus Tanzania dan membatalkan pelantikan pengerusinya, Anna Abdallah.

SUMBER: BERNAMA-NNN-AGENCIES


Pengarang :