GLOBAL

Krisis Ukraine-Russia berpotensi cetuskan perang

KIEV 28 NOV: Presiden Ukraine, Petro Poroshenko, semalam memberi amaran mengenai ancaman perang besar-besaran dan berkata Russia meningkatkan kehadiran tenteranya secara dramatik di sempadan yang dikongsi bersama ketika ketegangan memuncak antara kedua-dua jiran bekas Kesatuan Soviet itu.

Poroshenko memberi amaran pertempuran di laut boleh menunjukkan perkembangan lebih drastik dalam menyemarakkan ketegangan ketenteraan Ukraine-Russia.

“Saya tidak mahu sesiapa menyangka ini satu jenaka dan permainan.

“Ukraine dalam ancaman perang besar dengan Russia,” katanya dalam temubual dengan saluran televisyen tempatan.

Bilangan unit Russia yang ditempatkan di sepanjang sempadan kedua-dua negara bertambah secara dramatik manakala jumlah kereta kebal di pihak Moscow meningkat tiga kali ganda, kata Poroshenko, memetik laporan perisikan.

Beliau berkata demikian selepas tentera Russia merampas tiga kapal milik Ukraine di luar pantai Crimea Ahad lalu dan menangkap 24 kelasi negara itu.

Kiev menuntut pembebasan kelasi berkenaan dan menggesa sekutu Baratnya mengenakan sekatan selanjutnya ke atas Moscow.

Krisis itu juga mengancam perbalahan diplomatik dengan Presiden Donald Trump memberi amaran beliau mungkin membatalkan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin.

Trump dijadualkan bertemu dengan Putin pada sidang kemuncak G20 di Buenos Aires hujung minggu ini, tetapi memberitahu Washington Post ia bergantung kepada keputusan laporan mengenai kejadian itu yang kini sedang disediakan penasihat keselamatannya.

SUMBER: AFP


Pengarang :