NASIONAL

KTMB tawar diskaun hingga 50 peratus untuk perkhidmatan ETS

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sehingga 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, ia sebagai tanda penghargaan kepada penumpang setia ETS di samping menggalakkan lebih ramai penumpang untuk merasai pengalaman menaiki tren KTMB tersebut.

“Bagi promosi diskaun tambang murah, diskaun 50 peratus diberikan kepada laluan KL Sentral-Gemas-KL Sentral dan juga Sungai Petani-Padang Besar-Sungai Petani untuk perjalanan pada hari Isnin hingga Khamis.

“Bagi promosi diskaun tambah murah 25 peratus pula, promosi adalah untuk ke mana-mana destinasi laluan tren ETS yang sedia ada bagi perjalanan pada hari Selasa dan Rabu,” katanya dalam kenyataan.

Pembelian tiket boleh dibuat di kaunter-kaunter KTMB sahaja dan tertakluk kepada terma dan syarat.

Perkhidmatan yang diperkenalkan pada 12 Ogos 2010 itu mempunyai 16 perkhidmatan sehari bagi laluan perjalanan antara Kuala Lumpur-Ipoh dengan purata jumlah penumpang seramai 1,500 orang sehari.

Kini ETS berkembang dengan lebih banyak pilihan laluan perjalanan di antara Sektor Selatan dan Sektor Utara, iaitu 36 perkhidmatan sehari dengan purata jumlah penumpang 12,000 orang sehari.


Pengarang :