NILAI, 11 Jun — Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat model perumahan Youth City dan mendapatkan informasi tentang unit rumah yang dilancarkan pada Majlis Pelancaran Perumahan ‘Youth City’ Tower D ‘Sayangi Anak Nogori’ di Vision City Sales Gallery, Persiaran Pusat Bandar, Bandar Baru Nilai, hari ini. — fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kuota pemilikan hartanah warga asing disemak

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyemak semula kuota pemilikan rumah atau hartanah oleh warga asing agar ia boleh dijadikan garis panduan untuk pemaju dan pihak berkuasa negeri, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata setakat ini, jumlah hartanah yang dimiliki warga asing di negara ini tidak melebihi satu peratus.

“KPKT akan membincangkan mekanisme yang lebih terperinci yang boleh diguna pakai oleh pihak berkuasa negeri,” katanya menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) mengenai kaedah sesuai untuk mengekang pembelian hartanah oleh warganegara asing selain penetapan nilai ambang yang pernah dikuatkuasakan sejak 2009.

Zuraida menjelaskan satu penetapan baharu telah dilaksanakan pada Mac 2014 yang mana had nilai minimum harga perolehan tanah untuk warga asing adalah sebanyak RM1 juta ke atas.

Beliau berkata dalam usaha untuk mengekang pembelian tanah oleh warga asing, KPKT menerusi Belanjawan 2019 juga telah membuat penetapan baharu bagi pelupusan harta tanah, saham dan syarikat hartanah selepas lima tahun yang mana kadar cukai keuntungan hartanah dinaikkan daripada lima peratus kepada 10 peratus bagi syarikat dan individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap.

Kementerian itu turut mengambil inisiatif menyelaraskan perbezaan harga rumah dan jenis rumah yang boleh dimiliki warga asing.

“Selain itu, kadar duti setem bagi pemilikan hartanah bernilai lebih RM1 juta dinaikkan sebanyak satu mata peratusan daripada tiga peratus kepada empat peratus,” jelas Zuraida.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :