SELANGOR

Kursus insentif latih pengasuh bertauliah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 NOV: Lebih banyak kursus penjagaan kanak-kanak bakal diwujudkan, di negeri ini melalui Kursus Intensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK).

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ia bagi memberi ilmu kepada golongan terbabit, terutama suri rumah menjadi pengasuh terlatih dan berpengetahuan.

Katanya, selain menjana pendapatan, langkah itu juga mampu menyediakan lebih banyak pusat asuhan di rumah dan memberi kemudahan untuk ibu bapa bekerja meninggalkan anak masing-masing, di pusat asuhan terlatih, teratur dan selamat.

“Secara umumnya, sebagai ibu bapa kita perlu memeriksa latar belakang pusat asuhan atau pengasuh dan keluarganya terlebih dahulu, sebelum membuat keputusan.

“Pada masa kini, kita tidak lagi boleh beranggapan semua manusia baik dan tidak akan melakukan perkara tidak diingini.

“Tidak salah jika langkah berhati-hati diambil kerana soal keselamatan perlu dititik beratkan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, setakat ini, seramai 800 wanita dilatih melalui program KIPK dan jumlah itu dijangka akan bertambah dari masa ke masa, bergantung kepada peruntukan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut merancang untuk menganjurkan kursus kepada ibu bapa bagi memberi pendedahan seperti proses mencari pusat asuhan atau pengasuh anak dilakukan terlebih dahulu.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal, bayi berusia 11 bulan yang meninggal dunia, pada Jumaat lalu dua hari berada dalam keadaan kritikal, di Hospital Serdang.

Kejadian mengejutkan masyarakat cukup tragis apabila perlakuan individu tidak bertanggungjawab itu tidak dapat diterima dek akal manusia waras.

Bayi yang dilahirkan pada 10 Disember 2017 itu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya sendiri dan menyebabkan tempurung kepalanya pecah.


Pengarang :