SELANGOR

Kutipan 20 sen berkurang bukti kesedaran pengguna meningkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Penurunan kutipan caj 20 sen yang dikenakan bagi penggunaan beg plastik membuktikan kesedaran pengguna terhadap kepentingan memelihara alam sekitar.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, pengguna kini dilihat cenderung menggunakan beg kitar semula milik masing-masing.

“Kaedah membawa beg sendiri untuk berbelanja semakin mendapat sambutan ramai berbanding membayar 20 sen mendapatkan beg plastik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Katanya, kutipan wang 20 sen itu juga akan disalurkan ke tabung amanah untuk membiayai program membabitkan alam sekitar, di Selangor.

Pada masa sama, beliau memaklumkan akan mempertimbangkan cadangan penggunaan beg kertas sebagai salah satu alternatif menggantikan beg plastik.

“Bagaimanapun, penggunaan beg kertas turut memberi impak kepada alam sekitar apabila meningkatnya aktiviti penebangan hutan untuk dijadikan kertas,” katanya.


Pengarang :