SELANGOR

Kutipan caj parkir kawasan industri elak salah guna

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 NOV: Kutipan caj bayaran parkir di beberapa kawasan perindustrian bertujuan mengawal penyalahgunaan kawasan berkenaan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, banyak aduan diterima Pihak Berkuasa Tempatan berhubung penyalahgunaan parkir di kawasan terbabit.

“Penyalahgunaan parkir ini termasuk meletakkan kenderaan berat dan jentera kepunyaan industri di kawasan parkir awam serta menjadikan parkir awam terbabit sebagai tempat letak kenderaan buruk atau rosak.

“Kutipan caj bayaran parkir di kawasan perindustrian perlu dilaksanakan dan petak parkir perlu diwartakan kerana bilangan terhad serta penyalahgunaan sering berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Teratai, Lai Wai Chong di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka dalam mempertimbangkan permohonan untuk mengkaji semua pelaksanaan kutipan caj bayaran parkir.

“Kita akan mempertimbangkan dan berbincang berkenaan caj bayaran parkir di tapak perindustrian supaya ia dapat memberi kebaikan kepada semua pihak,” katanya.


Pengarang :