EKONOMINASIONAL

KWSP semak semula kuantum simpanan kepada RM240,000 mulai 2019

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menyemak semula kuantum bagi simpanan asas daripada RM228,000 sekarang ini kepada RM240,000 berkuatkuasa 1 Jan 2019.

Simpanan asas itu mewakili jumlah yang dianggap mencukupi untuk menyokong keperluan asas anggota KWSP selama 20 tahun sebelum bersara pada umur 55 tahun.

“Kuantum baharu itu menjadi penanda aras berbanding pencen minimum bagi pekerja sektor awam, yang telah ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1,000 sebulan,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Jabatan Pengurusan Strategi, Balqais Yusoff berkata kuantum simpanan asas KWSP disemak semula dari semasa ke semasa mengikut pencen minimum bagi pekerja sektor awam, atau setiap tiga tahun, yang mana lebih awal, dengan semakan terakhir pada 2017.

Dengan semakan semula itu, anggota perlu mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP bagi membolehkan ia layak menyertai Skim Pelaburan Anggota KWSP.

Skim pelaburan itu menyediakan anggota dengan opsyen untuk mempunyai sebahagian daripada simpanan KWSP mereka dalam akaun 1 dilaburkan dalam unit amanah atau melalui mandat swasta yang diuruskan oleh institusi-institusi pengurus dana yang dilantik.

Untuk maklumat lanjut, anggota boleh menghubungi Pusat Pengurusan Panggilan KWSP pada talian 03-89226000 atau rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau lawati mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :