ALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Labuan catat jumlah hujan tahunan tertinggi, Kuala Kangsar terendah

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Labuan mencatatkan jumlah hujan tahunan tertinggi iaitu 4,938.9 milimeter (mm) manakala Kuala Kangsar mencatatkan jumlah hujan tahunan terendah iaitu 1,955.4mm pada 2017, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Jabatan itu menerusi Kompendium (ringkasan) Perangkaan Alam Sekitar (KPAS) Malaysia 2018 memaparkan statistik alam sekitar bagi tempoh 2013 hingga 2017/2018 meliputi udara, air, tanah, dan penduduk serta keadaan alam sekitar, impak aktiviti manusia ke atas alam sekitar dan langkah yang diambil bagi mengurangkan impak itu.

“Selain itu, Malaysia turut mengalami iklim panas dan lembap dengan Jerantut, Temerloh dan Kuala Kangsar mencatatkan suhu tertinggi dengan bacaan 32.9 darjah Celsius, manakala suhu terendah 16.1 darjah Celsius dicatatkan di Cameron Highlands,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pelepasan bahan pencemar ke udara pada 2017 berpunca daripada kenderaan bermotor mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 70.4 peratus, diikuti stesen jana kuasa (24.5 peratus), industri (2.9 peratus) dan lain-lain (2.1 peratus).

“Penggiat industri turut berusaha mengurangkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar.

“Berdasarkan Banci Ekonomi 2016 (tahun rujukan 2015), sejumlah RM2.6 bilion telah dibelanjakan bagi melindungi alam sekitar dengan sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar iaitu 73.6 peratus,” menurut kenyataan itu.

Statistik itu juga turut memaparkan jumlah kejadian banjir pada 2017 iaitu sebanyak 498 kes dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 86 kes diikuti Sarawak (64 kes), dan Pahang (61 kes).

“Dalam pada itu, demam denggi mencatatkan 83,443 kes pada 2017 tanpa melibatkan kes kematian. Bagaimanapun, demam denggi berdarah mencatatkan 406 kes dengan 177 kematian manakala malaria mencatatkan 4,114 kes dengan dua kematian.

Bijih besi merupakan hasil bumi tertinggi dengan jumlah pengeluaran 3.92 juta tan metrik pada 2017. Import dan eksport mineral itu turut mencatatkan nilai tertinggi masing-masing iaitu RM3.27 bilion dan RM3.86 bilion,” kata kenyataan itu lagi.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :