SELANGOR

Lahir lebih ramai pengusaha lebah madu kelulut

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri menggerakkan langkah serius membangunkan lebih ramai pengusaha lebah madu kelulut atau ‘Stingless Bee’, di sini, khususnya membabitkan belia bagi memangkin industri asas tani.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, hal itu memandangkan industri pengeluaran madu lebah, di Selangor dilihat berpotensi untuk dikembang dan dimajukan.

Katanya, ia mendapat permintaan tinggi ekoran nilai khasiatnya yang mampu menjadi makanan kesihatan tambahan dan mengubati pelbagai jenis penyakit secara semula jadi.

“Lebah madu kelulut memang ada di bawah perancangan kita, malahan kita sudah mengenal pasti ‘Fruit Valley’, di Bestari Jaya seluas kira-kira 60 hektar untuk tanaman bunga bagi mendapatkan madu.

“Kita mahu menjadikan industri kelulut sebagai yang terpenting dalam usaha memperkasa pembangunan pertanian kerana ia tidak memerlukan banyak persiapan daripada aspek menyediakan koloni,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Dialog Penternak Lebah Kelulut Sungai Air Tawar yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Kuang, Sallehudin Amirudin, di sini, semalam.

Kira-kira 50 pengusaha lebah madu kelulut termasuk penduduk tempatan di sekitar daerah itu turut serta dalam sesi perbincangan berkenaan.

Pada masa sama, Ir Izham berkata, pihaknya juga mempunyai perancangan kukuh untuk menjadikan Selangor sebagai pusat pengumpulan lebah madu kelulut terbesar, di negara ini.

Katanya, ia sekali gus memberi peluang kepada pengusahanya untuk mengkomersialkan produk mereka, sekali gus mampu menjana pendapatan lumayan.

“Kalau kita dapat buat pengumpulan, tidak mustahil hasrat menjadikan Selangor sebagai hab pengeluaran kelulut terbesar di Malaysia dapat dicapai dan saya percaya kita boleh mempertingkatkan lagi pada masa hadapan,” katanya.


Pengarang :