SELANGOR

Laksana pemutihan pangsapuri, wujud komuniti sejahtera

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri akan melaksanakan program pemutihan ke pangsapuri kos rendah di seluruh Selangor bagi membendung masalah ‘sewa atas sewa’.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, Kerajaan Negeri mahu membaik pulih kemudahan sekali gus, mencipta kehidupan yang lebih selesa dan impak positif.

Katanya, menerusi langkah itu, pelbagai akses kemudahan, rekreasi yang boleh membawa kepada interaksi sosial dapat dilaksanakan.

“Kita lihat rata-rata penghuni di pangsapuri kos rendah ini sibuk dengan hal masing-masing, tiada ruang untuk berjumpa dan berkenalan dengan orang lain.

“Mungkin disebabkan kurangnya akses kemudahan dan menyebabkan perkara ini berlaku lebih teruk, anak-anak mula terjebak dengan gejala negatif,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas statistik 58 peratus penghuni projek perumahan rakyat di Kuala Lumpur yang menjadi lokasi paling berisiko tinggi penagihan dadah dan langkah Kerajaan Negeri membendung perkara itu dari berlaku di negeri berkenaan.

Pada masa sama, Haniza berkata, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam merangka program kesedaran kepada setiap golongan penduduk.

“Langkah itu juga bagi membendung gejala sosial di kawasan berkenaan dari berlarutan.

“Kita juga tidak mahu mereka ini tinggal di pangsapuri ini lebih lima tahun. Hal ini kerana kita mahu mereka keluar dari kepompong kemiskinan dan menuju kepada kualiti kehidupan yang lebih baik.

“Dari segi psikologi, anak-anak ini kurang keyakinan diri dan tidak mahu bergaul dengan kelompok lain, ini akan mengundang bahaya kepada mereka,” katanya.


Pengarang :