NASIONAL

Laksana segera siasatan penuh dan bebas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 NOV: Empat menteri dan seorang timbalan menteri menegur kenyataan awal Polis Subang Jaya berhubung isu pergaduhan di kuil lama sebagai palsu serta tidak bertanggungjawab.

Dalam kenyataan bersama, empat menteri persekutuan iaitu M Kulasegaran, Dr Xavier Jayakumar, Gobind Singh Deo, P Waytha Moorthy dan timbalan menteri, R Sivarasa menzahirkan rasa dukacita dalam hal berkenaan.

Mereka berkata, kenyataan ‘dua kumpulan berbangsa India’ itu juga menambahkan ketegangan antara kaum terbabit terutama ekoran respon lambat dan tidak efektif polis.

“Kami menyeru Ketua Polis Negara untuk memastikan kenyataan pembetulan segera dikeluarkan untuk menetapkan fakta lurus,” katanya.

Pada masa sama, mereka juga mahu siasatan penuh dan bebas oleh pihak polis bagi menentukan dalang serta motif kejadian itu.

“Mereka yang bertanggungjawab terhadap keganasan ini perlu ditangkap dan dihukum.

“Siasatan ini perlu dilakukan Bukit Aman bukannya Polis Subang Jaya,” kata mereka sambil menambah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu.

Kenyataan itu juga menyelar pihak polis yang didakwa lambat bertindak dan menurut mereka tiba selepas dua jam pergaduhan berlangsung.

Katanya, polis Subang Jaya tiba ke lokasi insiden kira-kira jam 4.15 pagi, manakala pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) tiba kira-kira jam 6 pagi.


Pengarang :