SELANGOR

Lakukan gotong-royong tangani denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 NOV: Masyarakat disaran melakukan aktiviti gotong-royong di kawasan persekitaran masing-masing, sekurang-kurangnya empat bulan sekali bagi menangani wabak denggi.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, beliau komited inisiatif itu akan diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, pada tahun depan.

“Saya bercadang akan melaksanakan aktiviti gotong-royong di setiap kawasan dalam DUN Permatang kerana segalanya bermula dari rumah.

“Apabila kebersihan persekitaran dititik beratkan, secara tidak langsung kesihatan kita akan turut terjaga, aedes juga tidak membiak,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Rozana bersama 70 orang terdiri daripada penduduk Kampung Baru Tiram Setia yang majoritinya kaum Tiong Hwa turun padang bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor dengan bantuan sukarelawan juga Pengerusi MPKK DUN Permatang.

Difahamkan, kawasan itu kini menjadi hotspot aedes dengann dua kes dilaporkan, pada tahun ini.

 


Pengarang :