NASIONAL

Lanjutan potongan cukai dua kali untuk bon, sukuk

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Lanjutan potongan cukai dua kali akan diberikan kerajaan sebagai layanan cukai dalam mempromosi Malaysia sebagai peneraju global dalam pasaran bon dan sukuk, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurutnya, cadangan lanjutan potongan tersebut diberi ke atas perbelanjaan kos tambahan bagi sukuk yang diterbitkan di bawah prinsip Ijarah dan Wakalah serta perbelanjaan yang ditanggung syarikat semasa menerbitkan bon atau sukuk runcit untuk tiga tahun taksiran mulai tahun taksiran 2019.

“Bagi tujuan sama, satu jawatankuasa khas bagi kewangan Islam akan ditubuhkan yang diketuai Kementerian Kewangan dan dianggotai Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen hari ini.

Selain itu, beliau berkata Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) bagi memperkenalkan rangka kerja baharu untuk meluluskan dan memantau aktiviti jual beli mata wang digital dan pasaran token akan diwartakan pada awal tahun hadapan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :