SELANGORSUKANKINI

Larian Menjunjung Kasih 2018 kembali pada 8 Disember

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 NOV: Program Larian Menjunjung Kasih 2018 bersempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-73 bakal berlangsung, pada 8 Disember ini dengan sasaran 10,000 peserta.

Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sekali dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan larian yang akan bermula seawal jam 6.30 pagi dan dijadualkan berkahir, pada jam 11 pagi di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor berkata, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin akan mencemar duli melakukan ‘flag-off’ larian yang dijadualkan bermula selewat-lewatnya, pada jam 7.30 pagi.

“Penganjuran program ini bertujuan memupuk masyarakat untuk mengamalkan cara hidup sihat serta semangat perpaduan dalam kalangan peserta yang mengambil bahagian.

“Selain itu, penganjuran program sebegini turut memberi peluang kepada penduduk tempatan, terutama remaja dan belia, di Selangor untuk menceburi sukan ini serterusnya secara tidak langsung menghidupkan rasa kasih serta peduli kepada Institusi Kesultanan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi, di Kompleks Kebudayaan dan Belia Selangor.

Katanya, edisi kali ini turut memperkenalkan jarak baharu sejauh 15 kilometer (km) dan setakat ini, lebih 4,000 peserta sudah mengesahkan penyertaan sementara tarikh akhir pendaftaran adalah 7 Disember ini.

Peserta boleh mula mendapatkan baju larian di Kompleks Kebudayaan dan Belia Selangor, pada 6 dan 7 Disember bermula jam 8 pagi hingga 6 petang, manakala kaunter pendaftaran pada hari larian akan mula dibuka, pada jam 5 pagi.

Hampir 100 hadiah menarik boleh dimenangi peserta larian menerusi undian cabutan bertuah antaranya motosikal, skuter elektrik, basikal, televisyen, telefon bimbit dan barangan elektrik.

Kategori dipertandingkan adalah 15km Lelaki / Wanita Terbuka Malaysia (18 tahun ke atas), 10km Lelaki/Wanita (18 tahun ke atas), 10km Pelajar Terbuka Lelaki/Wanita (13-27 tahun), 5km Pelajar Terbuka Lelaki/Wanita (13-27 tahun) serta 5km Keluarga Fun Run.

Pendaftaran acara larian dilakukan sceara dalam talian di laman sesawang www.racexasia.com.


Pengarang :