SELANGOR

Latihan khusus tangani masalah mental

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri akan memberi kemahiran dan latihan kepada aktivis serta petugas Pusat Khidmat Dewan Negeri dan Pusat Wanita Berdaya bagi menangani masalah mental, di negeri ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal itu bagi memudahkan pesakit mendapatkan maklumat atau rawatan lanjut ke kaunselor yang disediakan.

“Terdapat empat pusat kaunseling disediakan antaranya Shah Alam, Ampang Jaya, Sepang dan Selayang bagi memudahkan pesakit.

“Kita juga membangunkan e-psy iaitu sistem temujanji maya bagi memudahkan pesakit membuat temujanji dengan kaunselor di mana-mana tempat.

“Kerajaan Negeri turut membuat hebahan terhadap pelbagai aktiviti dan terdapat 10 program termasuk pameran di karnival dan institusi,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, di Dewan Negeri Selangor.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, pihaknya menjalin kerjasama erat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mendapatkan khidmat kaunseling dan ujian psikologi, selain program pendidikan bersama badan bukan kerajaan.

“Kita juga mengalukan setiap ADN untuk memberi maklumat atau pendidikan supaya pesakit ini tidak malu mendapatkan rawatan kerana stigma ketakutan mendapatkan bantuan itu perlu dihapuskan.

“Kita bimbang jika masalah stigma ini menjadi lebih parah dan akan menyebabkan pesakit tidak mahu mendapatkan rawatan,” katanya.


Pengarang :