BERITA UTAMAGLOBALNASIONAL

Lawatan rasmi Tun M ke Singapura kukuhkan lagi hubungan baik dua negara

SINGAPURA, 12 NOV: Lawatan rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad ke Singapura buat kali kedua sejak kembali menjadi Perdana Menteri tahun ini, akan mengukuhkan lagi hubungan baik dengan negara jiran di selatan itu, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

“Ia bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua negara,” katanya dalam satu persidangan media di sini sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara republik itu.

Beliau berkata kerjasama antara kedua-dua negara berlangsung dengan baik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, kesalinghubungan, pendidikan, pertahanan, pertanian dan komunikasi.

Lawatan dua hari itu adalah atas undangan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

“Kita sangat tersentuh dengan lawatan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada 19 Mei bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada Tun Dr Mahathir sebaik beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7,” katanya.

 

“Suka saya tekankan lawatan itu adalah di luar amalan protokol biasa dan ia merupakan satu penghormatan, serta mempamerkan kesungguhan Singapura untuk mengekalkan hubungan baik sedia ada antara kedua negara,” tambahnya.

Merujuk kepada hubungan antara dua negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan, Saifuddin berkata: “Ia tidak berubah dan keakraban sedia kita ingin terus pertingkatkan.”

“Apabila kita boleh selesaikan isu HSR (High Speed Rail).. itu menunjukkan kita boleh selesai dan menangani pelbagai isu untuk kepentingan bersama dengan begitu baik sekali,” katanya.

Ditanya mengenai agenda utama mesyuarat dua hala antara dua Perdana Menteri esok Saifuddin berkata “tiada agenda khusus” memandangkan “kita sudah selesaikan kebanyakan isu sejak beberapa bulan lalu termasuk berhubung HSR”.

“Objektif utama adalah untuk meningkatkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan Singapura. Saya pasti kedua-dua Perdana Menteri akan dipandu oleh kebijaksanaan dalam mengetengahkan tajuk utama perbincangan. Bagi Wisma Putra kita tak nampak sebarang agenda khusus,” katanya.

“Mesyuarat dua hala biasa, dan sudah tentu isu perdagangan dan kesalinghubungan akan dibincangkan,” tambahnya.

Ditanya sekiranya isu berkaitan perjanjian air akan dibincangkan, Saifuddin berkata: “Semua ini bergantung kepada kedua-dua Perdana Menteri, dan seperti saya katakan tadi, kedua-dua mereka berada di kedudukan terbaik untuk melihat samada mereka akan membincangkan perkara ini”.

Lawatan ini adalah sebahagian daripada lawatan pengenalan peringkat tinggi Dr Mahathir ke negara-negara ASEAN selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7 Malaysia, dan beliau akan diiringi oleh isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir juga akan menemui para pemimpin lain Singapura termasuk Presiden Halimah Yacob; dan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong.

Antara program dalam lawatan ini termasuk pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura.

Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan diplomatik selama 53 tahun dan mengekalkan hubungan baik sebagai jiran paling dekat, dan juga rakan anggota ASEAN.

Kedua-dua negara memiliki kerjasama kukuh dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan.

Singapura adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia selepas China dan jumlah perdagangan antara dua negara tahun lepas ialah RM 220.88 bilion, yang mewakili 12.9 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :