SUKANKINI

Liga Europa: Arsenal dan Chelsea menang besar

PARIS 30 NOV: Pasukan dari London, Chelsea dan Arsenal menang besar dalam saingan Liga Europa awal pagi tadi dengan gergasi Glasgow, Celtic dan Rangers pula terpaksa menunggu perlawanan terakhir untuk layak ke peringkat seterusnya.

Pengurus Arsenal, Unai Emery menyenaraikan pemain muda untuk beraksi di Ukraine dan mereka membalas kepercayaannya apabila meraih kemenangan selesa 3-0, menewaskan Vorskla Poltava.

Kejayaan itu sekali gus menjamin kedudukan Arsenal di kedudukan teratas Kumpulan E, dalam perlawanan yang dipindahkan ke Kiev, berikutan wujud kebimbangan mengenai isu keselamatan di timur negara itu.

Pemain remaja, Emile Smith Rowe dan Joe Willock masing-masing mencetak nama selaku penjaring dan satu lagi gol diraih hasil penalti Aaron Ramsey bagi memastikan kemenangan buat The Gunners.

Arsenal kini perlu mengelak daripada bertemu pasukan yang tersingkir daripada Liga Juara-Juara, dalam undian peringkat seterusnya, kerana mereka mempunyai rekod yang lebih baik menentang pasukan di tempat kedua, Sporting Lisbon.

Sementara itu, jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri yang mendesak pemainnya bangkit selepas kekalahan kepada Tottenham di Liga Perdana Inggeris sebelum ini, juga berjaya mengemudi pasukan menebus kekecewaan di pentas domestik.

The Blues menewaskan PAOK Salonika 4-0, dengan dua gol hasil jaringan pemain Perancis, Olivier Giroud.

“Sasaran utama adalah untuk menang, kami perlukan tindak balas pasukan yang kuat dan kami berjaya melakukan dengan baik pada kali ini,” kata Giroud.

“Saya sangat gembira dengan semangat pasukan dan kami kini boleh bergerak ke hadapan dan mula mendapatkan momentum baru.

“Saya dapat menjaringkan gol, tetapi sebenarnya saya terpaksa menunggu untuk mendapatkan lebih peluang,” kata Giroud.

Sebelum perlawanan awal pagi tadi, Bayer Leverkusen, Zurich, Dinamo Zagreb, Arsenal, Frankfurt, Lazio dan Chelsea semuanya sudah layak ke saingan seterusnya.

Begitu juga dengan pasukan Salzburg, Sporting Lisbon, Real Betis, Zenit Saint-Petersburg, Dynamo Kiev, Krasnodar dan Fenerbahce – yang beraksi untuk memburu kedudukan selesa di carta kumpulan.

SUMBER: AFP


Pengarang :