NASIONAL

LKIM tapis 8,000 nelayan tidak tulen

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengenal pasti hampir 8,000 nelayan tidak tulen dan dikeluarkan daripada senarai penerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN).

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, proses pemutihan yang dijalankan terhadap lebih 40,000 nelayan berdaftar yang menerima elaun itu akan diteruskan bagi memastikan ESHN hanya diberikan kepada yang benar-benar layak.

“Nelayan tulen dalam akta LKIM ini perlu turun ke laut 120 hari setahun sebagai syarat utama, justeru kita buat pemutihan untuk menapis nelayan yang tidak memberikan fokus penuh atau menjadikan pekerjaan itu sebagai kerja sampingan atau tidak turun ke laut lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Persidangan Persatuan Nelayan 2018, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Bagaimanapun katanya, mereka yang tidak terpilih boleh membuat rayuan.

Menurut data Jabatan Perikanan Malaysia, terdapat lebih 133,000 nelayan di seluruh negara, pada masa ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bagi membincangkan penstrukturan insentif diberikan kepada warga nelayan.

“Kita akan mencari kaedah penstrukturan semula insentif elaun sara hidup, insentif tangkapan ikan dan elaun subsidi petrol,” katanya.

MOA menerima peruntukan RM98.5 juta bagi Insentif Bersasar Nelayan menerusi Belanjawan 2019.


Pengarang :