SELANGOR

Mahasiswa perlu perkemas kemahiran komunikasi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 14 NOV: Golongan mahasiswa disaran memperkemas kemahiran komunikasi lisan dan bertulis bagi memastikan lebih banyak kompetensi penguasaan bahasa.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, pelajar juga perlu menajamkan kemahiran dalam penyelesaian masalah kompleks seperti kedalaman analisis dan keterbabitan isu unik supaya dapat berdiri megah, di arena globalisasi.

“Dalam mendepani cabaran industri 4.0, pelajar di universiti harus keluar daripada kebiasaan, malahan Forum Ekonomi Dunia menggariskan pentingnya penguasaan elemen 4C iaitu Critical Thinking and Problem Solving, Collaboration dan Creativity, pada semua peringkat pengajian.

“Masyarakat perlu mengukuhkan diri sebagai pemimpin dan ahli pasukan kerana penyelesaian masalah kompleks merentasi disiplin secara tuntas memerlukan kerjasama berpasukan cemerlang.

“Sebagai ketua dan ahli pasukan yang berkesan, selain pengetahuan teknikal, karisma dan kepemimpinan berinovasi adalah resepi kejayaan kerja berpasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Antarabangsa Pendidikan ProSET 2018, di Auditorium Za’ba, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya, di sini, baru-baru ini.

Seminar bertemakan Pengantarabangsaan Pendidikan Seiring Era Revolusi Industri 4.0 itu anjuran Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial dengan kerjasama Pembimbing Rakan Peningkatan Sekolah Selangor , Rakan Peningkatan Sekolah Selangor dan Jabatan Pendidikan Selangor.

Ia menampilkan lima pembentang utama iaitu Prof Dr William R. Barrat dan Ahmed Mohamed dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya; Pengetua The Alice Smith School Secondary Campus, Sarah Howling; Presiden Organisasi Guru Bahasa Inggeris Thailand (Thailand TESOL), Paneeta Nitayaphorn serta Prof Dr D. Christiana Victoria Marta dari Universiti Padjadjaran dan Langlangbuana, Bandung, Indonesia.

Pada masa sama, Juwairiya berkata, dalam ledakan industri 4.0, segala urusan harian manusia akan dikongsi bersama robot yang dicipta untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia.

Malah katanya, teknologi automasi dilihat sebagai keupayaan teknologi yang tidak perlu melibatkan manusia secara langsung.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, ProSET membuka penyertaan kepada warga pendidik institusi pengajian tinggi dari dalam mahupun luar negara mendapatkan penarafan antarabangsa, sekali gus melonjakkan budaya kerja berasaskan kajian ilmiah.

Katanya, ia bagi meningkatkan tahap kualiti pendidikan di Selangor selaras hasrat kerajaan memperkasakan pendidikan ke peringkat antarabangsa.


Pengarang :