NASIONAL

Mahkamah keluar waran tangkap untuk Shahidan

SHAH ALAM, 9 NOV: Mahkamah Sesyen Kangar mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim ekoran kegagalan beliau hadir menghadapi pertuduhan jenayah, hari ini.

Waran tangkap itu dikeluarkan hakim Johari Abu Hassan selepas beliau menerima permohonan timbalan pendakwa raya, Mohd Nordin Ismail.

Menurut Peguam Bela Shahidan, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim berkata, anak guamnya itu berada di luar kawasan ketika ini.

“Kes berprofil tinggi seperti ini perlulah dimaklumkan lebih awal, apatah lagi melibatkan seorang ahli politik.

“Shahidan pula menetap di Perlis, waran tangkap hanya dikeluarkan jika beliau melarikan diri,” katanya

Dalam perkembangan itu, Syed Muhammad berkata, pihaknya akan membuat permohonan mahkamah untuk membatalkan waran tangkap ke atas bekas Menteri Besar Perlis itu.

Pada 30 Oktober lalu, Shahidan dipanggil memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman berhubung laporan yang dibuat ke atasnya oleh seorang gadis.

Sehari kemudian, Shahidan tampil memberi penjelasan mendakwa kejadian tersebut berpunca daripada “salah faham.”

Katanya, dakwaan beliau berdua-duaan dengan pelajar terbabit di dalam kereta adalah tidak benar sebaliknya, pertemuan itu dibuat ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan beliau keluar dari kenderaan terbabit.

 

 


Pengarang :