NASIONAL

Mahu ahli parti tidak lalai dan dewakan kuasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Ahli dan kepimpinan KEADILAN diingatkan supaya tidak lalai daripada idealisme perjuangan reformasi walaupun sudah mendapat kuasa di Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Presidenya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sejarah juga mengingatkan bahawa penyakit mendewakan kuasa dan kedudukan banyak menjangkiti revolusi pada masa lampau.

“Sama ada Revolusi Perancis mahupun Revolusi Bolshevik, bahkan Arab Spring yang bermula dengan agenda luhur untuk memerdekakan rakyat, menyimpang dan akhirnya mengkhianati aspirasi rakyat.

“Ia juga boleh menjangkiti KEADILAN sekiranya kita alpa kepada matlamat dan idealisme perjuangan.

“Maka, anggota KEADILAN dan reformis yang mencetuskan pembaharuan dan reformasi harus mengambil iktibar.

“Anak muda dan wanita KEADILAN menggalas tanggungjawab besar menggilap idealisme dan mewarisi sebuah perjuangan rakyat yang luhur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar di Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Wanita KEADILAN 2018, di IDCC, di sini.

Hadir sama, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Ketua Wanita, Haniza Talha dan Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Mohamed Azmin berkata, urus tadbir yang telus dan berintegriti, dasar dan kebijakan peduli rakyat menjadi jenama yang menggamit sokongan rakyat.

“Manifesto Pakatan Harapan mengungkap cita-cita dan kejayaan Selangor dan Pulau Pinang sebagai gagasan untuk rakyat memahami dan mendukung kita dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Agenda pembangunan dikaitkan dengan usaha memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menjamin pengagihan yang adil, lagi saksama.

“Ini adalah teras fahaman kita tentang prinsip keadilan dan ihsan dalam erti kata pembangunan ekonomi,” katanya.

Justeru, katanya, ahli parti perlu mengingati kejayaan yang merubah kerajaan pada 9 Mei lalu akibat daripada keruntuhan tembok perkauman sempit, penolakan fahaman radikal serta amalan rasuah.


Pengarang :