AGAMASELANGOR

MAIS sifatkan peruntukan RM1.2 bilion ‘hadiah’ martabatkan syiar Islam

SHAH ALAM, 2 NOV: Peningkatan peruntukan kepada RM1.2 bilion untuk kemajuan syiar Islam di seluruh negara seperti yang diumum dalam Belanjawan 2019, disifatkan sebagai ‘hadiah’ bagi menggalakkan lagi perkembangan agama itu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, peruntukan tersebut diharap dapat membangunkan lebih banyak program yang memartabatkan agama selaras dengan perkembangan zaman khususnya dalam bidang pendidikan Islam untuk golongan muda.

Beliau berkata dengan adanya tambahan peruntukan itu, pihak berwajib diharap dapat memberi fokus kepada memperkemas bidang pendidikan Islam kerana keperluannya dilihat lebih mendesak pada masa ini.

“Contohnya di Selangor sendiri, apa yang diperlukan adalah lebih banyak program pendidikan Islam seperti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kerana bilangan murid yang ramai memerlukan lebih banyak guru terlatih. Maka pastinya ada peruntukan tertentu yang harus diberikan.

“Nasib guru KAFA mungkin boleh ditambah baik dengan adanya peruntukan ini yang mana kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan boleh membela nasib mereka seterusnya memartabatkan syiar Islam,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion tahun depan berbanding RM1.1 bilion tahun ini bagi memastikan kemajuan syiar Islam tidak terjejas walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Menurut Lim, sejumlah RM150 juta lagi disediakan bagi melaksanakan program-program tertentu termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara, inisiatif ‘Khaira Ummah’ untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan Braille.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :