SELANGOR

Majlis Ihtifal SIMDE rai kecemerlangan pelajar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 NOV: Majlis Ihtifal Sekolah Islam Masjid Darul Ehsan (SIMDE) dalam meraikan kecemerlangan pelajar berlangsung penuh meriah di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, hari ini.

Majlis kali ke-21 itu disempurnakan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad.

Pengerusi SIMDE, Yang Mulia (YM) Prof Dr Tengku Shahrom Tengku Shahdan berkata, selain meraikan kecemerlangan pelajar, ia juga bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan ibu bapa.

“Sambutan diterima amat menggalakkan dan hari ini kita meraikan pelajar dari tahun satu hingga lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Selain itu, kita turut melancarkan Projek Wakaf Dewan Ilmu Terbuka sebagai usaha memberi fasiliti kepada pelajar, guru dan masyarakat untuk menggunakan kemudahan terbabit pada masa akan datang,” katanya selepas Majlis Ihtifal SIMDE.

Tengku Shahrom berkata, peluang wakaf itu dibuka dalam kalangan ibu bapa pelajar dan masyarakat luar juga dialu-alukan untuk menyumbang.

“Saya optimis masyarakat dan ibu bapa sudi menyumbangkan sedikit derma demi merealisasikan dewan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pengisian majlis turut diselitkan persembahan pelajar, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah.

 


Pengarang :