SELANGOR

Malaysia belum sedia guna e-voting

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 NOV: Sistem e-voting yang diguna pakai dalam Pemilihan KEADILAN 2018 dilihat masih belum sesuai dilaksanakan dalam pilihan raya umum, di negara ini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli berkata, hal itu kerana tahap keselamatan dan kerahsiaan pengundian boleh dipertikaikan menerusi pelaksanaannya.

Katanya, kaedah itu juga memudahkannya terdedah kepada ancaman siber, sekali gus boleh menggagalkan proses pengundian.

“sistem itu perlu lebih cekap dan memudahkan urusan semua pihak ketika mengendalikan tugasan, selaras tujuan ia diwujudkan, justeri ia perlu ditambah baik sebelum boleh dilaksanakan sepenuhnya,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, ketika mengulas berkenaan pemilihan parti, beliau berkata, jawatankuasa bertanggungjawab perlu meletakkan petugas yang mempunyai pengetahuan dalam multimedia supaya segala isu berbangkit dapat diatasi.

“Saya menyokong usaha penambahbaikan sistem e-voting ini dengan beberapa ciri keselamatan dan memastikan internet berjalan lancar ketika pengundian dijalankan,” katanya.

 

 


Pengarang :