EKONOMI NASIONAL

Malaysia berhasrat galakkan industri, kemahiran dan pekerjaan hijau di ASEAN

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Malaysia berharap dapat menggalakkan pengenalpastian potensi dan prospek untuk industri serta pekerjaan hijau dalam kalangan negara anggota ASEAN sepanjang penggalnya sebagai pengerusi sektor buruh ASEAN, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga berharap untuk membangunkan dasar-dasar serantau yang sepadan berkaitan industri hijau sepanjang tempoh tiga tahun bermula tahun ini hingga 2020.

“Marilah kita mulakan perjalanan kita sekarang. Malaysia akan lakukan yang terbaik untuk memacu sektor buruh ke depan dengan menggembleng pekerjaan dan kemahiran hijau di bawah naungan kepimpinan kami,” katanya dalam ucapan pada perasmian Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN ke-25 di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

Dr Mahathir berkata ASEAN juga bersedia untuk bekerja dengan rakan dialognya iaitu China, Korea Selatan dan Jepun bagi membuka peluang lebih luas untuk masa depan pekerjaan dan kemahiran hijau di rantau ini.

Beliau turut meluahkan keyakinan sektor buruh ASEAN akan menyaksikan hasil yang signifikan dalam menggalak dan mempermudah usaha menghijaukan industri serta pekerjaan dan kemahiran.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :