NASIONAL

Malaysia kawal ketat kemasukan buruh asing

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 NOV: Malaysia bakal mengikut jejak langkah beberapa negara maju termasuk Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong bagi mengawal kemasukan buruh asing ke negara ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, antara langkahnya ialah mewajibkan setiap buruh asing yang bekerja dalam pelbagai sektor perkhidmatan dan pengeluaran, untuk pulang ke negara asal selepas permit mereka tamat tempoh.

“Itu hasrat mana-mana negara sekalipun tetapi di Malaysia, kita berdepan masalah apabila buruh asing terus menetap di sini sehingga agensi penguat kuasa terpaksa mengerahkan operasi memburu mereka.

“Kita tidak mahu membebankan agensi penguat kuasa, selain memperuntukkan kos penghantaran pulang dan penahanan buruh asing yang berdegil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Ke-25, di sini, hari ini.

Kulasegaran berkata, mesyuarat itu disertai menteri buruh dari 10 negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia dengan sokongan Sekretariat ASEAN dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Katanya, ia adalah mesyuarat tertinggi yang berperanan menggubal dan membuat keputusan berkenaan program serta aktiviti perburuhan berdasarkan Rangka Tindakan Komuniti Sosia-Budaya ASEAN.

“Menteri-menteri Buruh ASEAN akan menyatakan sokongan terhadap ‘ASEAN Declaration on Promoting Green Jobs for Equity and Enclusive Growth of ASEAN Community’,” katanya.


Pengarang :