GLOBALNASIONAL

Malaysia-Rusia tingkatkan perdagangan dua hala

SINGAPURA, 14 NOV: Malaysia dan Rusia melahirkan harapan untuk meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, hari ini, mengadakan mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-33, di bandar raya ini.

Putin menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia ke-3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-13.

Tahun lepas, Malaysia dan Rusia meraikan sambutan ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

“Hubungan antara Rusia dan Malaysia berkembang dan kami melakukannya dengan baik,” kata Putin, dan menambah bahawa kedua-dua negara menyaksikan peningkatan ketara dalam perdagangan sebanyak 60 peratus untuk lapan bulan pertama.

“Banyak lagi yang masih boleh dilakukan dan saya fikir banyak lagi yang dapat dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya. Saya gembira dapat berjumpa dengan anda dan berpeluang bercakap… untuk mendapat peluang bersama anda,” katanya melalui penterjemah.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, mesyuarat berkenaan akan menjadi platform bagi melihat hubungan dengan Rusia dan berharap untuk meningkatkan perdagangan.

“Perdagangan kita agak baik tetapi kita boleh melakukan lebih baik,” kata Dr Mahathir.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :