SUKANKINI

Mantap persembahan hadapi PIala Suzuki AFF

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 NOV: Harimau Malaya diharap terus meningkatkan persembahan bagi menghadapi kempen Piala Suzuki AFF 2018, bermula 8 November hingga 15 Disember ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kejayaan menundukkan Maldives dalam perlawanan persahabatan antarabangsa A di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Sabtu diharap memberi suntikan semangat buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Beliau turut memuji kesungguhan dan semangat juang tinggi dipamerkan pasukan Malaysia dalam perlawanan berkenaan.

“Walaupun dilihat prestasi skuad kebangsaan memberangsangkan dengan kombinasi muka lama dan baharu, namun bagi saya benteng pertahanan negara perlu diperkuatkan lagi.

“Diharap jurulatih akan segera memperbaiki kelemahan ini, namun secara keseluruhan, saya berharap skuad kebangsaan mengekalkan momentum kemenangan ini dan ]bersama berjuang mengangkat misi menaikkan martabat sukan bola sepak negara,” katanya.

Malaysia akan memulakan saingan Piala Suzuki AFF 2018 dalam Kumpulan A bertemu Kemboja, Khamis ini sebelum menentang Laos (12 November), Vietnam (16 November) dan Myanmar (24 November).


Pengarang :