SELANGOR

Masyarakat puji pelaksanaan Karnival Kerjaya OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 NOV: Kebanyakan keluarga golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang hadir ke Karnival Kerjaya OKU memuji inisiatif Kerajaan Negeri dalam menganjurkan program terbabit.

Salah seorang ibu yang mempunyai anak OKU, Siti Aida Abu Kassim, 41, berkata beliau optimis karnival itu bakal dianjurkan, pada setiap tahun dengan menambah lagi jumlah organisasi terbabit.

“Saya bersyukur kerana karnival ini sedikit sebanyak membuka ruang kepada OKU untuk mereka mencari sumber pendapatan sendiri,” katanya yang mempunyai anak masalah pembelajaran.

Selain itu, Sabiha Abdul Jalil, 38, berkata, beliau hadir untuk membawa adik yang mengalami autisme menerokai peluang pekerjaan bersesuaian.

“Karnival dilaksanakan Kerajaan Negeri ini patut dipuji dan perlu diadakan di setiap negeri supaya nasib golongan OKU tidak tercicir.

“Bagaimanapun, saya yakin pelbagai bidang dapat diperkembangkan lagi pada akrnival kerjaya ini, kerana kebanyakan majikan yang saya lihat membuka peluang khusus buat golongan bisu dan pekak,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, adiknya, Ahmad Adnin Fawwaz Abdul Jalil berusia 25 tahun mempunyai kecenderungan terhadap membuat kek dan menghafaz.

Terdahulu, Karnival Kerjaya OKU disempurnakan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

 


Pengarang :