SUKANKINI

Mat Redho dicadang terima Anugerah Perdana Belia Negara 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Kejayaan ‘Ninja Malaysia’, Mohd Redha Rozlan, 30 , menjuarai Ninja Challenge League (NCL) 2018, mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mencadangkannya sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2018.

Beliau mengucapkan tahniah atas kecemerlangan dicipta pemuda lebih dikenali Mat Redho dalam pertandingan di Perth, Australia, Isnin lalu.

“Tahniah Mat Redho atas kejayaan dalam Ninja Challenge League 2018 di Perth Australia dua hari lalu.

“Saya ingin mencalonkan saudara sebagai penerima Anugerah Khas bagi Anugerah Perdana Belia Negara 2018,” katanya dalam laman media twitternya, @SyedSaddiq

Beliau berkata, kejayaan Mat Redho itu menjadi contoh kepada generasi muda di negara ini.

“Tahniah saudara. Anda menjadi inspirasi kepada ramai anak muda Malaysia,” katanya.

Pada pertandingan itu, Mat Redho berjaya mengatasi cabaran lebih 30 ‘ninja’ terbaik di Perth dan 11 ninja antarabangsa.

Beliau merekodkan catatan masa terbaik 5:13.09 untuk muncul juara meninggalkan American Ninja Warrior, Jake Murray (kedua) dengan masa 5:23.62 bagi cabaran Flying Bar Start.

Sementara itu, Cameron D’Silva (Australia) di tempat ketiga.


Pengarang :