SELANGOR

Mat Sabu bantu mangsa kebakaran di Klang

PELABUHAN KLANG, 1 NOV: Sepasang suami isteri yang menjadi mangsa kebakaran rumah, di Pangsapuri Taman Pendamar Indah 2, di sini, baru-baru ini menerima sumbangan RM1,000 sebagai bantuan awal bagi menampung keperluan semasa.

Sumbangan itu diserahkan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu kepada P Subramaniam ketika melawat unit rumah yang terbakar itu, hari ini.

Bercakap kepada pemberita, Mohamad berkata, bantuan lanjut akan diberi mengikut laporan kerosakan daripada bomba dan disalurkan menerusi peruntukan daripada Pejabat Parlimen Kota Raja, Pejabat Dewan Undangan Negeri Sentosa serta Kerajaan Selangor.

“Kebakaran serius hanya membabitkan satu unit rumah sahajam namun jika ada unit lain yang terkesan atau retak dengan insiden itu, kita minta penghuni membuat laporan kepada bomba serta polis untuk diteliti sama ada ia masih selamat diduduki atau tidak,” katanya lapor BERNAMA.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, kebakaran kira-kira jam 8.40 malam itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas masakan menyebabkan ia meletup dan berlaku beberapa rebakan dinding sehingga jatuh ke tingkat bawah.

“Letupan itu menyebabkan rumah berkenaan terbakar 100 peratus dan hasil pemeriksaan mendapati, berlaku beberapa kerosakan pada unit rumah berdekatan.

“Kami minta mereka laporkan kepada bomba untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Subramaniam, 52, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang berterima kasih kepada Mohamad yang juga Menteri Pertahanan kerana menziarahi beliau yang kini ditempatkan sementara, di Dewan Orang Ramai Pandamaran Jaya dan memberi bantuan awal.

Katanya, sumbangan itu boleh digunakan untuk membiayai keperluan harian ekoran kebakaran itu memusnahkan keseluruhan harta benda miliknya.

 


Pengarang :