SELANGOR

MB: Amalkan gaya hidup sihat sebelum guna Kad Peduli Sihat

OLEH SHEEDA FATHIL

BATU CAVES, 24 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menggalakkan rakyat supaya mengamalkan gaya hidup sihat sebelum menggunakan Kad Peduli Sihat.

Beliau berkata, hal itu kerana pepatah Melayu ada menyebut bahawa menghindari lebih baik daripada mengubati iaitu mengelak lebih baik daripada mencari ubat.

“Namun, saya faham sedikit sebanyak ia sukar dilaksanakan kerana sikap dan cara hidup individu itu sendiri yang tidak mengawal pemakanan harian sekali gus akan menyebabkan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) mudah tersebar.

“Dengan pemakanan yang tidak terkawal maka ia akan mendatangkan masalah kepada penyakit NCD seperti darah tinggi, kencing manis, jantung dan pelbagai lagi yang menjadi punca utama kematian di negara ini.

“Oleh itu, saya nasihatkan sebelum kita menggunakan kad Peduli Sihat, kita dapat mengamalkan gaya hidup sihat supaya tiada lagi penyakit NCD dijangkiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Sihat Selangor 2018 Peringkat Majlis Perbandaran Selayang di Taman Ekstrem Gau Damai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri komited dalam membantu rakyat menangani masalah kesihatan, justeru pada Pembentangan Belanjawan 2019 turut disebut peruntukan RM10 juta untuk Peduli Sihat.

“Saya optimis di saat kita sedang berhadapan dengan kemajuan, kejayaan dan kemakmuran ekonomi ini, ia bukan hanya perlu dinikmati tetapi harus bersedia amalkan gaya hidup sihat, stabil dan berkualiti,” katanya.

Terdahulu, Amirudin menerusi Pembentangan Belanjawan 2019 beliau turut mengumumkan Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM10 juta bagi Skim Peduli Sihat pada tahun depan.


Pengarang :