AGAMABERITA UTAMASELANGOR

MB ketuai 84 kontinjen perarakan Maulidur Rasul

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 NOV: Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hari ini mengetuai kira-kira 4,200 peserta daripada 84 kontinjen yang berarak sempena Sambutan Mulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1440H/2018.

Perarakan yang disertai pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu bermula di pintu gerbang Stadium Shah Alam dan berakhir di Stadium Malawati sebelum memulakan acara seterusnya.

Pada sambutan kali ini Kontinjen Jabatan Penjara Malaysia Negeri Selangor diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Kontinjen Perarakan Tebaik diikuti tempat kedua, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat di tempat ketiga.

Bagi kategori Badan Berkanun dan swasta pula tempat pertama dimenangi oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), kedua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan ketiga Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Manakala kategori organisasi bukan kerajaan, institusi pengajian tempatan dan masjid pula dimenangi Masjid Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), kedua Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ketiga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Bagi kategori sekolah menengah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong, kedua Asrama Yayasan Selangor dan ketiga Darul Tahfiz Ummu Qura Jalan Kebun.

Sementara itu, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Majlis Perbandaran Sepang, UiTM Shah Alam dan Sekolah Agama Menengah Tinggi pula memenangi hadiah Sepanduk Terbaik dalam kategori masing-masing.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.


Pengarang :