SELANGOR

MB: Selangor agresif perangi dadah

OLEH SHEEDA FATHIL

BATU CAVES, 24 NOV: Kerajaan Negeri komited dalam memerangi penyalahgunaan dadah apabila memperuntukkan RM1 juta pada Belanjawan Selangor 2019

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia dilaksanakan bagi memastikan Selangor menjadi negeri contoh yang agresif menangani masalah itu.

“Ia bagi memastikan rakyat di negeri ini dapat menghindarkan diri daripada terjebak dalam kancah penyalahgunaan dadah yang ternyata memberi kesan buruk kepada komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Sihat Selangor 2018 Peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Taman Ekstrem Gua Damai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, masyarakat kini sering berhadapan masalah tekanan perasaan dan murung sehingga menjadi punca mereka terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Oleh itu, pada Pembentangan Belanjawan Selangor 2019, semalam, saya turut menekankan mahu memberi penekanan kepada program kesihatan mental dengan memperluaskan peranan Pusat Kaunseling Selangor sedia ada menerusi pengaktifan sesi kaunseling atas talian.

“Segala luahan rasa boleh disalurkan melalui panggilan telefon untuk mengurangkan tekanan dan mendapatkan nasihat lanjut terhadap kerumitan dialami,” katanya.


Pengarang :