SELANGOR

MB: Selangor Agrofest 2018 dilawati lebih 50,000 pengunjung

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Selangor Agrofest 2018 bertemakan Pemodenan Pertanian Ke Arah Kehidupan Lestari dijangka akan menerima lebih 50,000 pengunjung sebelum melabuhkan tirainya hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini berdasarkan jumlah kehadiran tahun sebelumnya yang mencatatkan jumlah pengunjung tidak kurang 50,000 orang.

“Kalau penganjuran tahun-tahun sebelumnya melebihi 50,000 pengunjung dan saya jangka pada kali ini juga sama.

“Saya difahamkan, selain orang Selangor, Agrofest kali ini juga terdapat pengunjung daripada Selatan Perak yang hadir,” katanya kepada media pada Majlis Perasmian Selangor Agrofest 2018 di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini, malam tadi.

Sebelum itu, ketika merasmikan acara tahunan itu, Amirudin berkata pelbagai agensi menyertai Selangor Agrofest kali ini.

Antaranya, FAMA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), MARDI, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan IADA Barat Laut.

“Penglibatan kesemua agensi tersebut, rakyat Negeri Selangor khususnya di Daerah Kuala Selangor amat bertuah kerana dapat melihat dan mendapatkan maklumat yang lengkap di dalam satu program disamping membeli pelbagai jenis jualan dari anak pokok sehinggalah kepada produk-produk industri asas tani,” katanya.

=EZY=


Pengarang :