Datuk Lee Chong Wei
SELANGORSUKANKINI

MB tersentuh semangat kental Chong Wei

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 9 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari tersentuh dengan semangat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Menerusi twitter, Amirudin berkata, walaupun pemain handalan itu dibelenggu dugaan, namun beliau mengharunginya dengan penuh ketabahan.

“Jiwa kentalnya menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus berjuang mengharumkan nama negara,” tulisnya di laman twitter peribadinya, hari ini.

Kenyataan Amirudin itu susulan pengumuman Chong Wei yang masih belum berhasrat untuk bersara dari dunia badminton negara ekoran tahap kesihatannya semakin pulih daripada kanser hidung dihidapinya sejak bulan lalu.

Walaupun perlu mengutamakan kesihatan, namun Chong Wei bersedia kembali ke gelanggang apabila keadaan mengizinkan.

Terdahulu, dalam satu sidang media di Kompleks Sukan Bukit Kiara, semalam Chong Wei mengakui dirinya amat menyayangi sukan badminton dan masih belum bersedia bersara.

Beliau berkata, walaupun perlu mengutamakan kesihatan, namun bersedia kembali ke gelanggang apabila keadaan mengizinkan.

“Saya menerima rawatan di Taiwan dan kini semakin pulih daripada kanser dihidapi.

“Saya masih meneruskan rawatan kanser tiga kali sebulan serta keadaannya semakin pulih dengan sokongan ahli keluarga dan semua termasuk peminat,” katanya.


Pengarang :