PBTSELANGOR

MBPJ anjur teater bangsawan kanak-kanak percuma

SHAH ALAM, 7 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal menganjurkan pementasan bangsawan kanak-kanak secara percuma untuk orang ramai, pada 23 hingga 25 November ini, bermula jam 8.30 malam, di Auditorium Dewan Sivik MBPJ.

MBPJ menerusi kenyataan berkata, pementasan bertajuk “Opu Chendera Burong Raja Siti” itu membabitkan penggiat seni bersama 60 kanak-kanak, berumur lima hingga 17 tahun dari Asrama Anak Yatim dan Asnaf Sungai Buloh.

“Ia adalah acara utama yang akan digiat aktifkan MBPJ bagi meletakkan sasaran atau hala tuju Kota Seni PJ, pada masa hadapan.

“Pembabitan menyeluruh daripada penggiat seni bangsawan, di Selangor dilihat mampu memberi suntikan dan impak baharu kepada Petaling Jaya, sebagai kota seni untuk menyatukan kegiatan seni serta kebudayaan,” katanya.

Pementasan teater itu anjuran Program Kebudayaan dan Kesenian Bahagian Kebudayaan, Kesenian, Sosial serta Pelancongan MBPJ dengan kerjasama Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras juga Kelab Seni Seri Kenchana Putrajaya.

Persembahan teater berdurasi satu jam 30 minit itu mengisahkan berkenaan Raja Siti, Penghulu wanita pertama Kuala Selangor yang diberi gelaran Opu Chendera Burong Raja Siti, pada abad ke-18 dan dinobatkan sebagai Yamtuan Besar Selangor kedua.

Teater itu diarahkan Mior Sharul Nizal Mior Ismail dan dibantu Zuraida Hamsiah Mohamed Yasir yang juga Penolong Pengarah Artistik serta Koreografer.

 


Pengarang :