SELANGOR

MBPJ rangkul 5 anugerah sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 15 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menempa sejarah apabila merangkul lima anugerah utama sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia di Medan Bandar Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Lima anugerah berkenaan adalah Anugerah Bandar Mampan 2017 ‘MURNInets’, Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau 2018 (Penyediaan Laluan Kaki Dan Laluan Basikal), Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau (Pembangunan Kebun Kejiranan) dan Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau (Program Pengkomposan Sisa) serta Anugerah Khas Menteri Wilayah Persekutuan.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, menerusi ‘MURNInets’, MBPJ mencatat markah paling tinggi iaitu 98.5 peratus dan secara tidak langsung menjadikan Majlis sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) paling cemerlang dalam aspek kemampanan di Malaysia.

“MURNInets adalah singkatan kepada Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia yang mengukur dan menilai kemampanan sesuatu kawasan di dalam pentadbiran PBT melalui satu set penunjuk bandar yang ditetapkan.

“Kriteria dinilai termasuklah kadar kemiskinan bandar, pengurusan risiko bencana, penyediaan rumah mampu milik, aksesibiliti kepada kemudahan, kualiti alam sekitar, keselamatan dan pengangkutan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, menerusi Anugerah Inisiatif Penyediaan Laluan Pejalan Kaki dan Laluan Basikal pula, MBPJ sudah menyediakan jaringan laluan pejalan kaki dan basikal sepanjang lebih 300 kilometer dan turut mengambil kira keperluan reka bentuk sejagat dan pencegahan jenayah.

“Bermula 2015, MBPJ mensyaratkan semakan keperluan penyediaan laluan pejalan kaki dan basikal bagi permohonan kelulusan projek di Petaling Jaya.

“Begitu juga dengan Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau (Pembangunan Kebun Kejiranan), di MBPJ terdapat 11 kebun kejiranan di bawah jenama Kebun Kita diwujudkan dan diasaskan sepenuhnya oleh komuniti Petaling Jaya,” katanya.

Manakala, bagi Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau (Program Pengkomposan Sisa), program pengkomposan merupakan sebahagian strategi PJ Mampan 2030 di mana kajian komposisi sampah mendapati 48 peratus adalah sisa organik.

“Di Petaling Jaya, program pengkomposan dijalankan berdasarkan konsep sisa itu satu aset dan perlaksanaan program telah melibatkan penyertaan individu, komuniti dan NGO selaras dengan semangat LA 21.

“MBPJ mengambil pendekatan secara insentif ekonomi iaitu pemberian rebat cukai taksiran dan secara sukarela iaitu pemberian tong kompos percuma.

“Terdapat tiga lokasi pusat pengkomposan milik MBPJ di wujudkan iaitu di Pusat Smart PJ Waste Solution Lab di SS2 berkapasiti dua tan sehari, Pusat PJ Eco-Recycling Plaza di SS8 berkapasiti 2 tan sehari dan Ibu Pejabat MBPJ berkapasiti 30 kilogram sehari,” katanya.

Pada sama sama, beliau berkata, MBPJ menerima anugerah kemuncak iaitu Anugerah Khas pilihan Menteri Wilayah Persekutuan.

Katanya, anugerah ini dianugerahkan kepada MBPJ berdasarkan pencapaian terbaik keseluruhan dalam pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau 2018.

“MBPJ membawa pulang Piala Pusingan dan hadiah iringan bagi anugerah ini. Antara kelebihan MBPJ adalah dari segi aspek inovasi, penglibatan komuniti dan pelbagai pihak dalam setiap program kejiranan hijau,” katanya.


Pengarang :