SELANGOR

MBSA sedia 171 tong RORO sempena Krismas

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 NOV: Sebanyak 171 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara percuma bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal sempena sambutan Krismas.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, perkhidmatan itu bermula dari 23 November hingga 23 Disember ini dengan meletakkan tong RORO, di lokasi sesuai secara berperingkat untuk kemudahan penduduk.

“Tong RORO bersaiz 3 tan akan diletakkan di kawasan sekitar Shah Alam iaitu di Seksyen 1 hingga Seksyen 36 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20.

“Orang ramai boleh membuang sampah pukal seperti perabut lama dan barangan elektrik iaitu almari, sofa, tilam, katil, peti ais, radio, televisyen, pengecas bateri, telefon bimbit dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, pelaksanaan perkhidmatan itu bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk melaksanakan aktiviti gotong-royong secara persendirian, di setiap kediaman masing-masing.

Katanya, ia juga bagi memberi didikan kepada warga Shah Alam berkaitan pengurusan sampah pukal dengan cara yang betul.

“Diharap penduduk memberikan kerjasama dengan meletakkan sampah pukal terbabit dalam tong RORO disediakan bagi memudahkan pihak kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar supaya berada dalam keadaan bersih,” katanya.


Pengarang :