SELANGOR

Media Selangor medium bantu dakwah MAIS

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 NOV: Media menjadi medium sebaran dakwah yang bergerak seiring dengan dunia teknologi maklumat tanpa sempadan, hari ini.

Justeru, Pengarah Pengurusan Korporat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Norraini Nordin berkata, SelangorKini dilihat sebagai platform terbaik bagi membantu badan berkenaan menggerakkan kerja dakwah kepada penduduk Selangor dengan lebih baik.

“Kelebihan dunia teknologi maklumat membenarkan aliran penyampaian ilmu berlaku pantas dengan menjadikan komputer, telefon bimbit dan internet sebagai medium yang menyalurkan informasi kepada pengguna.

“Namun, dengan adanya media rasmi Kerajaan Negeri ini, ia membantu MAIS menyebarkan maklumat dengan lebih tepat tanpa mengelirukan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke pejabat Media Selangor, di Seksyen 13, di sini, hari ini.

Turut hadir kakitangan daripada Bahagian Hartanah, Harta Baitul Mal, Undang-undang dan Khidmat Pengurusan MAIS, manakala Media Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eddie Khodzali.

Mengulas lanjut, Norraini berkata, perkembangan teknologi mencorak pemikiran masyarakat ke arah menerima sesuatu maklumat secara tepat, praktikal dan mudah.

“Justeru, kemajuan yang ada ini perlu digunakan sebaiknya dalam konteks dakwah lebih-lebih lagi aksesnya yang meliputi seluruh dunia.

“MAIS mahu media dijadikan sebagai platform untuk memberikan penjelasan terhadap sebarang kekeliruan berhubung agama suci ini kepada masyarakat,” kaatanya.


Pengarang :